Friday, May 28, 2010

Perpindahan dari IPB ke Pandan Indah & Perkembangan KUIM

Perpindahan dari IPB ke Pandan Indah & Perkembangan KUIM
Apabila jumlah pelajar semakin bertambah pada sesi akademik 2001-02 kepada 553 orang, KUIM memerlukan lebih ruang untuk menampung pelajarnya. Sebuah bangunan di kawasan membeli belah Pandan Capital Menara A telah disewa bagi menjalankan kuliah dan tutorial. Pada 21 Januari 2002, keseluruhan pentadbiran KUIM telah berpindah ke Menara A MPAJ. Bagi menempatkan pelajar, bangunan kediaman berhampiran Taman Muda Cheras telah disewa. Bangunan berbentuk apartment ini dikenali sebagai Riviera 2 dan 3. Bangunan tersebut mempunyai kemudahan-kemudahan seperti gymnasium, kolam renang dan lain-lain kemudahan rekreasi. Sesi akademik ketiga (2002-03) menyaksikan penubuhan fakulti keempat, Fakulti Ekonomi dan Muamalat. Prof. Dr. Muhamad Muda telah dilantik sebagai Dekan pertama. Tujuan penubuhan fakulti ini ialah untuk melahirkan graduan yang berpengetuahuan, berkemahiran dan professional dalam pentadbiran Muamalat. Disamping itu, penubuhan fakulti tersebut juga bertujuan memartabatkan prinsip-prinsip Islam dalam menyediakan peluang bagi pakar, ahli intelek dan sarjana membuat penyelidikan dan memahami dan seterusnya mendalami pengetahuan dalam bidang ekonomi Islam dan muamalat. Antara bidang yang menjadi fokus fakulti tersebut ialah Prinsip Takaful, Perbankan Islam, Pasaran Modal Islam, Zakat dan Pengurusan Baitulmal, Pemasaran Islam dan Sistem Kewangan Islam. Seramai 481 pelajar mendaftar untuk sesi akademik 2002-03 dan buat pertama kalinya KUIM menerima kemasukan pelajar siswazah apabila lapan orang pelajar siswazah mendaftar bagi kursus Sarjana dan ijazah kedoktoran dengan pilihan penulisan tesis dan penyelidikan. Untuk menampung pelajar-pelajar tersebut, Pusat Pengajian Siswazah telah ditubuhkan pada sesi akademik tersebut.
Pada sesi akademik 2001-03, KUIM telah menempa sejarah apabila Perdana Menteri pada waktu itu Y.A.B. Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghadiri upacara pecah tanah kampus baru universiti di Nilai, Negeri Sembilan pada 20 Ogos 2002. Nilai terletak dalam lingkungan Koridor Raya Multimedia dan kira-kira 20 minit perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan pusat pentadbiran negara, Putrajaya. Tambahan pula, Nilai mempunyai stesen komuter yang mengangkut penumpang ke Kuala Lumpur arah utara dan Seremban arah selatan tanah air. Kawasan dimana kampus baru akan didirikan berkeluasan 188 hektar dan akan dibangunkan dalam dua fasa. Fasa pertama akan dibina dalam Rancangan Malaysia ke-8 (RM8) dan fasa ke-dua akan dibina melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RM9). Terletak dalam kawasan kediaman bandar Nilai dan berdekatan Kelab Golf Nilai Spring, kampus tetap USIM terletak dalam lokasi yang ideal yang membolehkan kakitangan dan pelajar mencapai kecemerlangan. Menjelang tahun 2010, kampus tetap USIM dijangka akan mempunyai pelajar berjumlah 10,0000.

KUIM Terus Berkembang di Pandan Indah
Seiring dengan pertambahan pelajar pada tahun akademik ke-empat (2003-04), pihak universiti telah menyewa 3 tingkat di bangunan bersebelahan Menara B di kompleks Pandan Kapital, Pandan Indah, Kuala Lumpur. Ketiga-tiga tingkat bangunan tersebut digunakan untuk tujuan pengajaran dan aktiviti pelajar dan telah diubahsuai sebagai bilik dan dewan kuliah. Terdapat juga bilik-bilik aktiviti tertutup, gymnasium, bilik ping pong, kafeteria pelajar, dan surau. Menara A dikhaskan untuk pelbagai pejabat, pejabat pentadbiran fakulti, bilik dekan, bilik kakitangan akademik, perpustakaan, makmal komputer, makmal bahasa, kafeteria kakitangan, surau dan bilik bacaan. Selain bangunan Riveria 2 dan 3, pihak universiti juga menyewa bangunan kediaman ketiga, Sri Penara yang terletak di Bandar Tasik Permaisuri untuk menempatkan pelajar yang tidak mempunyai kediaman di bangunan-bangunan di Riveria. Mereka
terdiri dari pelajar tahun tiga. Bilangan penyewaan bas juga telah ditambah untuk mengangkut pelajar dari kawasan kediaman ke kampus.
Dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan universiti, KUIM telah menubuhkan Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) pada tahun 2003. Institut ini adalah hasil usaha Tan Sri Dato' Dr. Mohd Yusof Noor, Pengerusi KUIM. Ia merupakan pusat rujukan masyarakat Islam yang berkaitan dengan isu-isu fatwa. Antara tanggungjawab INFAD ialah mencatatkan dokumentasi dan penyelidikan fatwa di seluruh dunia secara menyeluruh menggunakan berkomputer. Salah satu objektif INFAD ialah untuk memanfaatkan hasil penyelidikannya melalui penerbitan, perbincangan, konsultasi dan seminar kepada masyarakat Islam seluruh dunia. Penubuhan INFAD adalah seiring dengan objektif universiti untuk meneroka pelbagai prinsip dan disiplin dalam Islam seiring dengan persekitaran moden dan teknologi terkini.
Pelancaran Program Baru Akademik
Tahun akademik 2004-05 menyaksikan KUIM melancarkan beberapa program baru akademik. Antaranya termasuklah program praperubatan, dua program ijazah sarjana muda di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (dahulunya dikenali sebagai Fakulti Da'wah dan Pengurusan Islam), satu program ijazah sarjana muda baru di Fakulti Syariah dan Undang-undang (dahulunya dikenai sebagai Fakulti Syariah dan Kehakiman), penubuhan Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Fakulti Pergigian. Sebagai tambahan, Fakulti Pengajian Qu'ran dan Sunnah juga menawarkan dua program baru peringkat sarjana muda. Sebelum penubuhan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) sebagai fakulti ke-enam yang diterajui oleh Dekannya Prof. Dr. Nik Nasri Nik Ismail, program pra-perubatan yang dikenali sebagai Tamhidi telah diperkenalkan. Program persediaan ini yang juga sama seperti program matrikulasi mempunyai jangkamasa setahun dan memberi persediaan kepada pelajar sebelum memasuki program ijazah sarjana muda di FPSK. Pelajar Tamhidi juga tertakluk kepada keperluan dan peraturan universiti selari dengan penguatkuasaan prinsip pendidikan Islam. Selain dari program berbentuk sains, pelajar tamhidi juga didedahkan kepada kursus berteraskan agama Islam disamping mengambil kursus-kursus bahasa Arab dan Inggeris. Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) yang diketuai oleh Dekannya Y. Bhg. Prof. Datin Seri Dr. Hajjah Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim, memperkenalkan dua program sarjana muda baru pada sesi akademik 2004-05 iaitu Sarjana Muda Kaunseling (Dengan Kepujian) dan Sarjana Muda Komunikasi (Dengan Kepujian). Sarjana Muda Kaunseling bertujuan mengeluarkan kaunselor Islam yang berpengetahuan, berkemahiran dan berpegang teguh kepada agama sementara Sarjana Muda Komunikasi bertujuan mengeluarkan pelajar yang berpengetahuan, berpegang teguh kepada agama dan boleh menceburi pelbagai bidang komunikasi terutamanya dalam bidang kewartawanan dan penyiaran.
Fakulti Syariah dan Undang-undang telah mula menawarkan Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang pada sesi akademik 2004-05. Keunikan program ini ialah ia menawarkan dwi-pengkhususan yang membolehkan pelajar menguasai kedua-dua bidang Syariah dan Undang-undang dan seterusnya membolehkan mereka mengggunakan pengetahuan mereka di Mahkamah Syariah dan Sivil. Fakulti ke-lima yang didirikan ialah Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Ia berbeza dengan fakulti lain di KUIM dan terletak di Zon Perindustrian Bandar Baru Bangi. Dekan fakulti tersebut ialah Prof. Dr. Jalani Sukaimi. Ia menerima kumpulan pertama pelajar pada sesi akademik 2004-05. Ia menawarkan beberapa program sarjana muda termasuklah Sarjana Muda Sains Bioteknologi Makanan (Dengan Kepujian), Sarjana Muda Sains Keselamatan Maklumat dan Asurans (Dengan Kepujian), Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko (Dengan Kepujian) dan Sarjana Muda Sains Kewangan Matematik. Fakulti ini menggunakan kemudahan dan makmal di UKM. KUIM telah menubuhkan fakulti ke-tujuhnya pada tahun 2005. Fakulti tersebut ialah Fakulti Pengajian Bahasa Utama. Sebagai permulaan, fakulti ini telah melancarkan program pertamanya Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi (Dengan Kepujian). Dekan pertamanya ialah Y. Bhg. Prof. Dato' Dr. Abdul Shukor Hj. Husin yang bertindak selaku Pemangku Dekan. Pada masa ini, Dekan fakulti tersebut ialah Prof.Madya Dr.Bhasah Abu Bakar. Selain Bahasa Arab, bahasa-bahasa lain akan diperkenalkan seperti pengajian Bahasa Inggeris, pengajian bahasa Mandarin, pengajian bahasa Jepun, terjemahan dan isu-isu semasa bahasa. Program Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi mengambil masa selama empat tahun dan pelajar mempelajari pelbagai kursus dalam Bahasa Arab dan komunikasi. Kursus-kursus umum, keagamaan dan Bahasa Inggeris juga perlu diambil oleh pelajar. Fakulti ini berhasrat untuk melahirkan pelajar yang mahir dalam pelbagai bahasa utama di dunia yang mampu melakukan penyelidikan dan mengambil bahagian dalam seminar dan persidangan dalam dan luar negara. Fakulti Pengajian Qur'an dan Sunnah dibawah pimpinan dekannya Dr. Adnan Mohamad Yusof memperkenalkan dua program Sarjana Muda yang baru; Sarjana Muda Pengajian Qur'an dengan Multimedia (Dengan Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat (Dengan Kepujian) sebagai mempelbagaikan kemahiran pelajar dan menawarkan program dwi-pengkhususan. Fakulti ke-lapan ialah Fakulti Pergigian yang mula mengambil pelajar pertamanya pada bulan Julai 2007. Y. Bhg. Prof. Dato Dr. Wan Mohamad Nasir Wan Othman telah dilantik menjadi Dekan fakulti tersebut. Fakulti Pergigian pada masa ini terletak di Menara B, Persiaran MPAJ, Pandan Indah bersama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK). Kedua-dua fakulti yang berhampiran ini berkongsi beberapa kemudahan fizikal yang sama. Fakulti Pergigian ditubuhkan bagi memenuhi permintaan penjagaan kesihatan pergigian di Malaysia. Ia berhasrat mengeluarkan pelajar yang boleh memahami dan menggunakan teknik terkini peralatan pergigian dan berpengetahuan asas dalam bidang sains Islam. Bahagian pertama atau dua tahun pertama program ini ialah pemerolehan pengetahuan yang berkaitan sains asas dan pendedahan kepada bidang pergigian fundamental selain elemen penting lain dan penyakit biasa. Pada bahagian kedua atau tiga tahun terakhir program ini, pelajar dikehendaki mengambil kursus pergigian klinikal yang spesifik termasuklah latihan pergigian klinikal disamping kursus-kursus elektif.

No comments:

Post a Comment